Adakah Yang Maha Mengetahui tidak mengetahui hambaNYA sedang menderita?
Adakah Yang Maha Mengasihani tidak mengasihani hambaNYa?
Adakah Yang Maha Melihat tidak melihat kesengsaraan hambaNYA?
Adakah Yang Maha Berkuasa tidak berkuasa ke atas kekuasaanNYA?
Adakah Yang Maha Pencipta tidak dapat mengawal ciptaanNYA?
Apa itu iman?
Iman itu yakin.
Bagaimanakah perasaan yakin itu?
Seseorang yang yakin kawannya seorang yang amanah akan menceritakan rahsianya tanpa sedikit syak pun bahawa kawannya itu akan menceritakan rahsia tersebut kepada pihak lain.
Inilah yakin. Tiada syak. Tiada keraguan.
Di mulut yakin yang Allah itu Maha Melihat, tetapi masih melakukan dosa bersunyi diri.
Di mulut yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar tetapi mulut masih seronok memperkatakan kelemahan dan aib orang lain.
Di mulut yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa tetapi masih merasakan diri sendiri yang berkuasa dengan meninggalkan solat. Bagi yang tidak meninggalkan solat, cuba ingat balik solat fardhu yang kita lakukan tadi, sempurnakah? Adakah menepati ciri-ciri solat yang khusyuk?
Puasa, bagi yang berpuasa, sempurnakah puasa kita secara batinnya? Pada zahirnya kita berpuasa,tapi batinnya?
Zakat dan haji, ini yang fardhu kalau ini pun tak buat, tak payah cerita la yang sunat.
Banyak lagi kalau ingin disenaraikan akan kelemahan sebagai KITA UMAT ISLAM. Lihat sahaja Rukun Islam kita yang lima.
Sejauh mana tahap keyakinan terhadap Allah S.W.T?
Sejauh manakah keimanan kita terhadap Allah S.W.T?
Hal ini berlaku kepada umat Islam seluruh dunia. Umat akhir zaman. Nak buat macam mana. Itukah jawapan kita?
Kita ibarat buih-buih di lautan. Banyak tetapi tidak bertahan lama. Orang yang lemah imannya akan terus mengikut arus. Orang yang sederhana imannya dapat menahan arus. Orang yang kuat imannya dapat melawan arus. Kita bagaimana?
Mungkin secara ikrar dan perbuatan menunjukkan kita beriman. Perkataan yang dituturkan oleh kita menampakkan seolah-olah kita orang yang beriman. Perbuatan kita melakukan solat, puasa, zakat,tulisan-tulisan kita di buku-buku atau blog-blog menunjukkan kita orang yang beriman walaupun kita tidak menyatakannya. Tapi di manakah hati kita?
Bukankah iman itu dicetuskan oleh hati, diikrarkan dengan lidah dan dibuktikan dengan perbuatan? Ketiga-tiganya mesti disekalikan. Hati, lidah dan perbuatan.
Hati kita belum yakin dengan ucapan keimanan yang kita ucapkan. Hati kita belum yakin dengan perbuatan keimanan yang kita lakukan.
No comments:
Post a Comment